YOUR VOICE, OUR ACTION

" i CARE, i SHARE, i SERVE "

Wednesday, June 25, 2008

Kes Spray (Gas Pemedih Mata)

Agenda Daily : Insight News

Ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof yang kini sedang menghadapi pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga orang yang lain, hari ini mengemukakan saman terhadap polis dan kerajaan Malaysia yang didakwanya mempunyai niat jahat dan menjatuhkan maruahnya ketika mengendalikan kes itu.


Nik Sapeia, 53, bersama dua peguamnya Zainal Abidin Mustafa dan Mohd Ilias Mohd. Noor mengemukakan dua writ saman di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu pada pukul 2.40 petang.

Usahawan itu menamakan Pegawai Penyiasat ASP Baharin Mohd Noh, Ketua Polis Kelantan Datuk Zulkifli Abdullah dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga.

Dalam satu writ saman itu, Nik Sapeia mendakwa ketiga-tiga defendan itu secara salah menahan dirinya dan menafikan hak-hak kebebasan yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Menurut Bernama,Writ itu menyebut pada 29 Julai lepas, defendan pertama atas arahan defendan kedua selaku pekerja atau agen defendan ketiga, menahan plaintif dan memohon perintah reman yang mana plaintif diperintahkan supaya ditahan reman selama tiga hari dan selanjutnya perintah tersebut disambung pada 31 Julai sehingga pukul 12 tengah hari, 1 Ogos.

Bagaimanapun, selepas pukul 12 tengah hari defendan pertama atas nasihat defendan kedua selaku pekerja atau agen defendan ketiga secara salah dan tidak sah di sisi undang-undang menahan plaintif di Balai Polis Kota Baharu tanpa apa-apa waran, dan membelakangi serta menghina perintah mahkamah pada 31 Julai yang memerintahkan supaya plaintif dibebaskan selepas pukul 12 tengah hari.

Writ itu juga menyebut lebih kurang 12.45 tengah hari, defendan pertama atas arahan defendan kedua secara salah, menahan dan membawa plaintif ke Mahkamah Majistret Kota Baharu untuk menahan pasport antarabangsa, dan pada pukul 1.15 tengah hari membebaskan plaintif tanpa apa-apa syarat dan tidak menahan pasport tersebut.- 13/8/2006
--------------------------

Nik Sapeia dihadap ke mahkamah kerana sengaja cederakan Dr Mahathir

Ahli perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff, 53, yang didakwa terlibat dalam insiden menyembur sejenis bahan pemedih mata terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 28 Julai lepas, hari Rabu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kota Bharu Rabu. Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap empat orang termasuk Dr Mahathir di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa pada kira-kira pukul 11 pagi dengan menyembur bahan berbahaya dengan menggunakan alat penyembur iaitu bahan yang berbahaya kepada tubuh badan apabila dihidu. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Tiga lagi yang menjadi mangsa ialah bekas anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Mohd Nasir Muda dan Suberi Sahidan. Menurut laporan Bernama,pertuduhan itu dibacakan bersama empat pertuduhan lain dengan kesalahan yang sama di tempat dan pada tarikh dan waktu yang sama masing-masing terhadap Ibrahim, Mohd Nasir, Suberi dan Dr Mahathir. Nik Sapeia yang diwakili dua peguam iaitu Zainal Abidin Mustaffa dan Ilias Md Nor memohon dibicarakan kerana pertuduhan itu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Shahidani Abd Aziz. Majistret, Tengku Amalin A'ishah Putri, iaitu anakanda Sultan Kelantan, menetapkan 22 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes itu. Tengku Amalin A'ishah Putri kemudian membenarkan Nik Sapeia dibebaskan dengan jaminan RM8,500 selepas peguambela Zainal Abidin memohon jaminan itu dikurangkan memandangkan ia merupakan kes saman sahaja. Nik Sapeia kemudian menjelaskan wang jaminan itu sebelum beredar dari kawasan Kompleks Mahkamah Kota Baharu dengan kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam pada kira-kira pukul 5 petang. Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa terlibat dalam kes penyemburan pemedih mata terhadap Dr Mahathir dan ketiga-tiga mangsa semasa bekas Perdana Menteri itu hendak menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan bersama orang ramai sejurus tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini. Kes itu mendapat perhatian ramai dan malahan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang turut terkejut dengan peristiwa itu mengarahkan polis menjalankan siasatan segera. Berikutan itu, Nik Sapeia ditahan reman selama empat hari, sehari selepas insiden tersebut. Terdahulu, wartawan dan orang ramai menunggu kehadiran Nik Sapeia di kompleks itu sejak pagi Rabu terutama selepas akhbar melaporkan bahawa dia akan didakwa hari Rabu. Nik Sapeia, bersut hitam tanpa tali leher, akhirnya tiba di mahkamah itu pada pukul 3.50 petang sambil diiringi oleh kedua-dua peguamnya serta isteri dan dua orang anaknya. 9/8/2006
-------------------------

Satu pengakuan’ pasal insiden semburan gas pemedih mata Dr Mahathir…Nazri buat kenyataan video

Lelaki yang memandang keluar dari pintu kaca di bilik VIP Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu ini bernama Mohd Nazri Jaafar dan ditugaskan oleh Datuk Ibrahim Ali untuk mengiringi Tun Dr Mahathir Mohamad setibanya di situ pagi Jumaat lalu.

Gambar sedutan dari rakaman video ini menunjukkan di belakangnya Datuk Nik Sapeia Nik Yusof sedang berbual dengan Pegawai Khas bekas Perdana Menteri,Sufi Yusof.

Detik ini dirakamkan tidak berapa lama sebelum pesawat ekskutif yang membawa Dr Mahathir mendarat.

Nik Sapeia ialah ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ yang ditahan polis Jumaat malam lalu dan dibebaskan dari tahanan reman Selasa.

Ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krai ini datang ke lapangan terbang itu bersama-sama beberapa lelaki berbadan besar dan berjaket hitam.

Nik Sapeia (dalam bulatan merah) berada tidak jauh dari belakang Dr Mahathir ketika melalui orangramai dari bilik VIP lapangan terbang Sultan Ismail Petra menuju ke kenderaan Pajero

Khamis Nazri muncul membuat pengakuan menerusi video yang disiarkan oleh laman web Malaysia Today mendakwa Nik Sapeia ada ‘buat pengakuan’ mengenai kaitannya dengan kejadian semburan gas pemedih mata yang berlaku ketika Dr Mahathir hendak menyampaikan ucapan menerusi sunroof kenderaan Pajero.

Pengakuan mengenai hal itu, dakwanya dibuat oleh Nik Sapeia semasa mereka berdua bersua dalam sebuah coffee house di hotel penginapan Dr Mahathir iaitu Hotel Renaissance di Jalan Sultan Yahaya Petra tidak lama selepas insiden semburan gas di lapangan terbang.

“Setelah saya baca akhbar semalam 2 haribulan (Ogos) dan 3 haribulan kenyataan Datuk Nik Sapeia (dia tidak ada kena mengena dengan insiden itu) …saya rasa benda ni tidak benar,”katanya.

Dalam pengakuan berkenaan Nazri memberikan nombor kad pengenalan dan nombor telefonnya dan memberitahu dia sedia berkerjasama memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes itu.

Nik Sapeia menunggu Dr Mahathir dekat kereta hitam yang membawa bekas Perdana Menteri itu dari lapangan terbang ke Hotel Renaissance selepas insiden gas pemedih mata.Beliau dikatakan menunggu di depan lobi hotel itu untuk membawa Dr Mahathir menaiki keretanya untuk sembahyang Jumaat.Bagaimanapun Dr Mahathir menaiki kereta lain bersama Ibrahim Ali.

Menurut Nazri setiba Dr Mahathir dia turut mengiringi bekas Perdana menteri itu melalui asakan orangramai dari bilik VIP hingga ke kenderaan Pajero bila insiden semburan gas itu berlaku.

Dalam kenyataan video itu dia juga menunjukkan dua keping gambar ketika berada di belakang Dr Mahathir dekat kenderaan Pajero.

“Saya mengiringi Tun sejak dari mula lagi..dari mula-mula dia keluar pintu VIP...terus mengiringi Tun bawa masuk ke dalam Pajero.

“Setelah Tun masuk ke dalam Pajero saya terhidu bau gas yang (menyebabkan) tidak boleh bernafas lancar…dan mata saya pun rasa pedih…maka saya berundur ke belakang.

“Lepas tu saya dapati Tun dibawa lari ( dengan sebuah kereta hitam)…saya terus mengambil kereta mengejar dari belakang kereta tersebut.Saya dapati mereka bawa Tun ke hotel.

Nik Sapeia antara yang duduk di barisan depan ketika majlis dailog dengan Dr Mahathir anjuran jawatankuasa alumni bekas ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri Kelantan di Hotel Perdana petang Jumaat.Acara pada sebelah malam anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan di Hotel Riverview beliau tidak hadir dan ditahan polis pada jam 10 malam itu.

“Setibanya di hotel Tun dibawa naik ke tingkat 20.Saya berada di tingkat 19.Saya masuk ke satu VIP coffee house (di situ) ...kebetulan terjumpa dengan Datuk Nik Sapeia….dia terpandang saya...ajak saya minum dan bertanya saya awak polis ke…saya cakap bukan…saya bekas tentera kawan Datuk Ibrahim Ali.

“Saya cakap Datuk…kenapa Datuk buat macam ni…tujuannya sama saja nak bawa Tun ke hotel…kenapa Datuk spray (gas pemedih mata) ….dia cakap kalau saya tidak spray awak taulah tadi macam mana.

“(Kata Nik Sapeia) Dia jaga keselamatan Tun…mungkin perkara yang lebih buruk berlaku…dia cakap.Jadi saya tanya dia lagi…kenapa Datuk guna spray…

“Kebetulan waktu itu dia baru bercakap dalam telefon…berkali-kali saya terdengar dia minta maaf…minta maaf…(katanya) minta maaf Datuk saya silap.

“Saya rasa ada orang pihak ketiga yang mengarahkan beliau berbuat demikian untuk mengagalkan rancangan Tun bercakap di airport …(itu) pendapat saya.

“(Masa berbual lagi) Nik Sapeia berterima kasih kepada saya…kata saya ikhlas jaga Tun tadi…tapi saya agak kasar sikit dengan dia …sebab apa dia buat macam tu…dia cakap demi keselamatan Tun…dia cakap dia personal dengan Tun nak bawa Tun.

“Semasa saya bercakap dengan Datuk Nik Sapeia ..di meja sebelah ada kawan-kawan saya (sebagai saksi) yang bernama Nasharuddin Md Rais dan Kepten (b) Sudirman…dan kawan-kawan saya yang lain.

“Jadi untuk membantu siasatan polis …saya dengan rela hati boleh memberi keterangan yang sebenar-benarnya berlaku kerana saya sendiri berada di tempat kejadian.

“Saya rela hati untuk membantu siasatan untuk cari kebenaran…”kata Nazri. - 4/8/2006
------------------------

Laporan polis Ibrahim Ali merujuk kepada ‘orang yang memakai jaket’...

Laporan polis yang dibuat oleh Datuk Ibrahim Ali tengahari Jumaat sejurus selepas insiden semburan gas pemedih mata semasa ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,Kota Bharu tidak menuduh Datuk Nik Sapeia Nik Yusof sebagai orang melakukannya.

Mengikut salinan laporan polis yang diedarkan kepada para wartawan semasa sidang akhbar beliau pada petang Isnin di sebuah hotel di Kuala Lumpur ada bertulis : Saya diberitahu ramai pihak berkata mereka yang melakukan ini adalah beberapa orang yang memakai jaket yang dikenali sebagai orang-orang yang masuk bersama orang yang bernama Nik Sapeia Nik Yusof .

Ahli perniagaan berumur 53 tahun itu ditangkap Jumaat malam untuk membantu siasatan berhubung insiden itu dan dibebaskan Selasa.

Namun begitu beliau bila-bila masa boleh dipanggil untuk memberi keterangan lanjut kepada polis bagi melengkapkan siasatan.

Ibrahim Ali yang merupakan salah seorang penganjur utama kedatangan Dr Mahathir dalam laporan polis antaranya turut menyebut : Pada jam lebih kurang 11 pagi 28/7/06 semasa saya mengiringi YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad keluar dari pintu utama Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,P/Chepa dimana begitu ramai sekali rakyat menyambut Tun.

Kemudian semasa Tun dibawa masuk ke dalam sebuah sebuah kenderaan Pajero bernombor WEB 688 ada pihak menolak dan cuba menghalang Tun dari menaiki Pajero tersebut dan dia berbadan besar dan tidak membenarkan Tun menaiki kenderaan tersebut dan cuba membawa Tun ke tempat lain dan orang ini kalau dilihat gambar saya dapat mengecam wajahnya dan saya percaya gambar boleh didapati kerana ramai pemberita dan jurugambar yang mengambil gambar Tun.

Salah satu gambar seperti diatas jelas menunjukkan Ibrahim Ali sedang menarik jaket salah seorang lelaki berjaket yang datang ke lapangan terbang bersama Nik Sapeia kerana kelihatan seperti menghalang laluan Dr Mahathir ketika hendak memasuki Pajero untuk berucap kepada orangramai menerusi sunroof kenderaan itu.

Kebanyakan orang yang berada sekitar balai ketibaan sedar mengenai kehadiran beberapa orang lelaki berjaket ini yang dikatakan diupah oleh Nik Sapeia untuk menjadi pengawal keselamatan jaga Dr Mahathir semasa di Kota Bharu.

Sejurus dibebaskan Nik Sapeia pula menerusi peguamnya telah membuat laporan polis di ibupejabat polis daerah Kota Bharu mendakwa laporan polis Ibrahim Ali adalah palsu.

Sementara itu dalam reaksi yang dihantar kepada para wartawan menerusi SMS petang Rabu terhadap dakwaan Nik Sapeia bahawa laporan polisnya palsu ,Ibrahim Ali berkata : Hubungi Bukit Aman untuk maklumat jelas.Jika saya cakap nanti kata itu cerita saya.Biar polis siasat.Polis Malaysia saya amat yakin cekap dan professional tapi selepas siasat Peguam Negara kena teliti pula.Semuga Allah tunjukan kebenaran.Yang penting siapa di belakang peristiwa 28hb.Julai O6..Siapa yang mendustakan Allah,ada balasannya,di dunia atau akhirat.Kenyataan media saya pada Ihb Ogos tidak keluar akhbar atau TV,TAPI Nik Sapeia dapat muka depan.Cantik sungguh permainan ini.Elok teliti aduan saya,malangnya tidak di siar. - 3/8/2006
------------------------------

Nik Sapeia bebas dari tahanan reman...dakwa Ibrahim Ali buat laporan palsu

Ke semburan gas pemedih mata semasa ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,Kota Bharu pagi Jumaat lalu sudah jadi berbelit.

Ahli perniagaan bergelar "Datuk" berumur 53 tahun iaitu Nik Sapeia Nik Yusof yang ditangkap Jumaat malam untuk membantu siasatan berhubung insiden itu dibebaskan dari tahanan reman Selasa.

Namun begitu beliau bila-bila masa boleh dipanggil untuk memberi keterangan lanjut kepada polis bagi melengkapkan siasatan.

Tengahari Jumaat selepas kejadian yang mengemparkan itu sekitar jam 11.15 pagi,Datuk Ibrahim Ali yang merupakan salah seorang penganjur utama kedatangan Dr Mahathir telah membuat laporan polis yang antaranya menyebut nama Nik Sapeia ada ‘buat hal ‘ di situ.

Sejurus dibebaskan Nik Sapeia pula menerusi peguamnya telah membuat laporan polis di ibupejabat polis daerah Kota Bharu mendakwa laporan polis Ibrahim Ali adalah palsu.

Beliau menuduh Ibrahim Ali ada motif untuk jatuhkan maruah dan menghinanya di mata masyarakat kerana mereka ada bertengkar sebelum itu.

Beliau yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krai mendakwa Ibrahim Ali ‘tahu siapa sebenarnya’ yang terlibat dalam insiden itu. Ini kerana jelas dalam penerangan Ibrahim Ali kepada orang awam selepas kejadian itu beliau tahu pemuda (yang melakukannya).

“Beliau tidak mahu saya hadir di lapangan terbang menjemput Tun Dr. Mahathir.Saya ada CD berkaitan,’’ katanya dalam laporan tersebut.

Nik Sapeia dibebaskan pada jam 1.15 tengahari selepas pendapat perintah dari Majistret Nazri Ismail.

Peguam Nik Sapeia iaitu Zainal Abidin Mustaffa telah membantah permohonan pegawai penyiasat kes itu,Asisten Supritendan Baharin Mohd. Noor supaya ahli perniagaan itu dibebaskan dengan jaminan polis dan pasport antarabangsanya diserahkan kepada pihak polis.

Zainal membantah dengan alasan Majistret tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan yang dibuat pada pukul 1.14 tengah hari sedangkan tempoh tahanan reman yang diberikan semalam adalah setakat 12 tengah hari sahaja.

Sewaktu tahanan reman Nik Sapeia telah dipindahkan ke wad di Hospital Raja Perempuan Zainab II pagi Ahad kerana mengalami sakit buasir.- 2/8/2006
-------------------------------------------

Ibrahim Ali ulangi dakwaan mengenai insiden sembur gas pemedih mata dalam sidang akhbar... Ibrahim Ali sedang tunjuk salinan laporan polis yang dibuatnya mengenai insiden semburan gas pemedih mata dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Kuala Lumpur petang Isnin.

Para wartawan sedang meneliti gambar rentetan insiden itu...sambil Ibrahim Ali memberi penjelasan tentangnya.

Datuk Ibrahim Ali Isnin mengulangi dakwanya bahawa insiden semburan gas pemedih mata semasa ketibaan Tun Dr Mahathir Mohamad di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pagi Jumaat adalah cubaan untuk mengagalkan program bekas Perdana Menteri itu di Kota Bharu.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) itu yang menganjurkan kedatangan Dr Mahathir ke Kota Bharu menyatakannya dalam satu sidang akhbar yang dihadiri oleh para wartawan dalam dan luar negara di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Datuk Nik Sapeia Nik Yusof (kanan berjaket) sedang bersemuka dengan Pegawai Khas Dr Mahathir,Sufi Yusof (baju putih)... dikatakan untuk memastikan bekas Perdana Menteri itu naik kereta yang disediaknya.

Sabtu lalu beliau membuat dakwaan yang sama ketika ditemui Agendadaily untuk mengulas laporan media bahawa insiden itu berpunca dari perebutan untuk bawa Dr Mahathir antara puaknya dengan kumpulan Datuk Nik Sapeia Nik Yusof. Nik Sapeia,seorang ahli perniagaan ialah ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Kuala Krai.Beliau tidak ada kaitan langsung dengan penganjur yang mengundang Dr Mahathir ke Kota Bharu. Sebelum " buat hal ' di lapangan terbang,beliau dikatakan telah mengarah orang memasang dua buah khemah dekat dewan Hotel Perdana - tempat berlangsungnya salah satu majlis Dr Mahathir - pada hari Khamis tanpa merujuk kepada penganjur.Polis telah mengarahkan khemah itu dibongkar. Bekas Perdana Menteri itu sepatutnya berucap ringkas kepada orangramai yang datang menyambutnya di lapangan terbang itu.Ia dibatalkan kerana insiden semburan gas pemedih mata itu.Bagaimanapun dua acara yang dijadualkan pada sebelah petang dan malam itu diteruskan. Beberapa orang lelaki berjaket hitam sedang menunggu di luar bilik ketibaan VIP di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.

Ibrahim Ali sekali lagi menegaskan tidak timbul soal perebutan itu kerana beliau sudah memberitahu kepada Nik Sepeia beliau tidak kisah Dr Mahathir dibawa naik kereta yang mereka (kumpulan Nik Sapeia ) sediakan untuk ke hotel.

Dalam sidang akhbar itu beliau menunjukkan gambar-gambar rentetan semasa kejadian itu untuk menguatkan dakwaannya semburan itu ditujukan kepada Dr Mahathir untuk mengagalkan program lawatannya ke Kota Bharu. Ibrahim Ali sedang sibuk menguruskan ketibaan Dr Mahathir ...sambil diperhatikan oleh Nik Sapeia,

Gambar-gambar itu termasuk ketika Nik Sapeia dikatakan sedang ‘marah-marah’ Pegawai Khas Dr Mahathir,Sufi Yusof kerana berkeras mahu juga bekas Perdana Menteri itu naik kereta yang disediakanya. Katanya jika mereka hendak menyembur beliau seorang sahaja (mungkin kerana marah padanya) ia boleh dilakukan sebelum itu dan tidak sembur dalam jip Pajero ketika Dr Mahathir berada dalamnya. Nik Sapeia sedang menguruskan orang-orangnya yang berjaket hitam dekat kereta yang disediakan untuk membawa Dr Mahathir....sambil diperhatikan oleh Sufi Yusof dibelakang (baju putih)

Ibrahim Ali juga mengulangi dakwaanya kemungkinan ada ‘pihak ketiga’ dibelakang Nik Sapeia dan orang-orangnya yang berjaket hitam kerana tidak mungkin mereka berani berbuat begitu sekali secara terbuka kepada bekas Perdana Menteri.

Katanya andaian mengatakan mereka menyembur gas itu untuk menyuraikan orangramai yang bersesak mengelilingi Dr Mahathir tidak masuk akal kerana dalam berbagai lawatan bekas Perdana Menteri ke negeri itu sebelum ini tiada masalah langsung sekalipun jumlah orangramai berganda lebih ramai dari itu. Ibrahim Ali dan Dr Mahathir waktu bersesak dengan orangramai...menjelang insiden semburan gas pemedih mata.

Katanya pihak polis harus menyiasat sedalam-dalamnya hal ini dan menghilangkan keraguan orangramai tentang berbagai prasangka yang timbul berhubung kejadian ini khususnya dakwaannya mengenai kemungkinan penglibatan "pihak ketiga'.

Sambil memuji tindakan segera Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan mengeluarkan kenyataan mengenai insiden itu pada hari Jumaat ,Ibrahim Ali berkata beliau sendiri mempunyai ‘ banyak teori ’ tentang kejadian ini dan andaian orang itu ini menjadi dalang dibelakang.

Dr Mahathir ketika sedang menghampiri jip Pajero

Katanya beliau mempunyai perasaan syak wasangka lebih-lebih lagi melihatkan gelagat Nik Sapeia yang 'sekejap-sekejap' menelefon ( guna telefon bimbit) entah siapa semasa menunggu ketibaan Dr Mahathir.

Katanya pihak Kementerian Pertahanan juga harus mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengenai penglibatan para lelaki berjaket hitam yang didapati adalah anggota tentera.

Ibrahim Ali sedang menarik jaket salah seorang pengawal keselamatan upahan Nik Sapeia dekat jip Pajero...beberapa saat sebelum insiden semburan gas pemedih mata.

Katanya sekalipun mereka dikatakan diupah di luar waktu tugas mereka menjadi pengawal keselamatan oleh Nik Sapeia ia menimbulkan berbagai persoalan mengenai jati diri dan disiplin perkhidmatan tentera.

Dr Mahathir sedang memasuki jip Pajero untuk berucap.

Dr Mahathir menutup hidungnya kerana terkena semburan gas semasa hendak memulakan ucapan menerusi sunroof jip Pajero...lalu masuk balik ke dalam jip.
Dari cermin jip Pajero kelihatan Ibrahim Ali dan Dr Mahathir sedang ' kelemasan ' akibat semburan gas ...sementara seorang di luar jip sedang menjerit mengatakan ada sesuatu berlaku...

Para pembantu Dr Mahathir terus menarik beliau keluar dari jip itu.

Dr Mahathir dengan segera dimasukan ke dalam sebuah kereta hitam bernombor DS666 disebelah jip itu...yang disediakan oleh Nik Sapeia..dan terus dipandu laju keluar dari lapangan terbang menuju ke hotel bersama-sama pembantu dan pengawal peribadi rasmi beliau iaitu seorang pegawai polis (baju putih...di depan sedang masuk kereta).

Keadaan Ibrahim Ali waktu ditarik keluar dari jip Pajero lepas terkena semburan gas pemedih mata.

Sedang sesak nafas dan pedih mata...

Pemandu jip Pajero sedang membasuh mukanya dengan air untuk hilangkan kesan gas pemedih mata.

Terbatuk-batuk merah mukanya ...sambil dibantu oleh rakan-rakan kesan dari gas pemedih mata. -1/8/2006
-----------------------

Ahli perniagaan ditangkap berhubung insiden bahan pemedih mata

Seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" berumur 53 tahun ditangkap Jumaat malam berhubung insiden penyemburan sejenis bahan pemedih mata terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahahir Mohamad di lapangan Terbang di Kota Bharu.

Sementara itu di Bangi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberitahu para wartawan bahawa mana-mana anggota Umno yang terlibat dalam insiden bekas Dr Mahathir disembur bahan pemedih mata menghadapi kemungkinan dilucutkan apa-apa jawatan dan dibuang daripada parti. Ketua Polis Kelantan Datuk Zulkifli Abdullah hari Sabtu berkata ahli perniagaan itu ditangkap di rumahnya di Pasir Tumbuh di Kota Bharu pada pukul 10 malam oleh sepasukan polis. "Suspek akan ditahan reman hari ini dan terpulang kepada majistret untuk menentukan tempoh tahanan itu kerana dipercayai beliau dapat membantu menyelesaikan kes semburan bahan pemedih mata ke arah Dr Mahathir dan beberapa mangsa lain di Lapangan terbang Sultan Ismail Petra (Jumaat)," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya. Zulkifli berkata setakat ini polis mengambil keterangan daripada 27 saksi termasuk tujuh anggota tentera dari 8 Briged di sini yang diupah oleh seorang daripada penganjur majlis yang dihadiri Dr Mahathir itu. Mereka ditugaskan sebagai pengawal peribadi penganjur itu selain mengawal keselamatan Dr Mahathir, katanya. Dr Mahathir yang tiba di sini pagi semalam untuk lawatan sehari ke Kelantan tidak dapat berucap kepada orang ramai yang menyambut ketibaannya di lapangan terbang setelah terkena semburan itu. Ia dikatakan berpunca daripada pertengkaran dua kumpulan penganjur, satu diketuai pengerusi Majlis Tindakan Rakyat Kelantan Datuk Paduka Ibrahim Ali dan satu lagi diketuai pemimpin Umno Kuala Krai Datuk Nik Sapian Nik Yusof. Bernama melaporkan Zulkifli berkata semua saksi yang diambil keterangan akan turut menjalani proses pengecaman terhadap lelaki yang ditahan itu. Tanpa menolak kemungkinan ada pembabitan pihak lain, Zulkifli berkata setakat ini hanya seorang suspek yang terbabit dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendengar khabar angin dan berita tidak rasmi mengenai insiden itu. Katanya polis mengalu-alukan aduan daripada mana-mana pihak berhubung insiden itu dan setakat ini hanya menerima masing-masing satu aduan daripada polis dan seorang ahli politik. Katanya beliau masih memerlukan pengesahan Jabatan Kimia berhubung kandungan bahan pemedih mata yang digunakan, tetapi ada kemungkinan ia merupakan satu daripada produk pepper spray (semburan lada) yang biasa digunakan wanita, sebagai senjata menangkis serangan terhadap mereka. Zulkifli berkata polis akan menyiasat daripada pelbagai aspek berhubung motif insiden itu, termasuk perebutan yang didakwa berlaku antara dua pihak, yang ingin membawa Dr Mahathir ke destinasi tertentu. Berikutan insiden itu, beliau berkata polis terpaksa mengenakan kawalan ketat bagi mengelakkan orang ramai daripada menghampiri pemimpin dan bekas pemimpin termasuk pembangkang dalam satu-satu majlis pada masa depan. "Tindakan itu tidak dapat dielakkan dan kami tidak akan membenarkan lagi perkara itu pada masa depan kerana telah berlaku kejadian seperti ini walaupun pemimpin mahu lebih rapat dengan masyarakat," katanya. Zulkifli berkata kawalan di lapangan terbang adalah mencukupi kerana polis sudah merancang bentuk kawalan yang sesuai dengan melihat latar belakang mereka yang hadir. "Kalau perkara itu dilakukan oleh mereka yang hampir dengan pemimpin, itu perkara lain. Jika ada anasir jahat, sudah pasti pegawai saya yang bertugas di situ akan dapat memintas mereka lebih awal," katanya. Beliau berkata polis tidak pasti sama ada kejadian semburan bahan pemedih mata itu ditujukan semata-mata kepada Dr Mahathir, kerana yang jelas orang lain turut menerima akibatnya .- 29/7/2006
----------------------------------

Insiden gas pemedih mata…satu cubaan untuk ‘culik’ Dr Mahathir

Ibrahim Ali sedang menunjukkan naskah akhbar berbahasa Cina yang melaporkan insiden semburan gas pemedih mata di muka depan dan dalam ketika ditemui Agendadaily di Kota Bharu pagi Sabtu.

Presiden Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) Datuk Ibrahim Ali mendakwa insiden semburan gas pemedih mata di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra,Kota Bharu pagi Jumaat yang mengemparkan itu adalah cubaan untuk ‘menculik’ bekas Tun Dr Mahathir Mohamad agar beliau tidak boleh menghadiri dua majlis yang dijadualkan pada sebelah petang dan malam itu.

Beliau menolak anggapan berlaku perebutan antaranya dengan bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai ,Datuk Nik Sapeia Nik Yusof kerana sama-sama nak bawa Dr Mahathir naik kereta mereka dari lapangan terbang itu ke hotel.

“Semasa menunggu ketibaan Tun saya sendiri beritahu Nik Sapeia dia boleh bawa Tun naik keretanya…saya tak kisah…apa nak berebut-rebut…naiklah,”katanya kepada Agendadaily tengahari Sabtu.

Menurut Ibrahim Ali sebenarnya sejak awal mereka mengatur kedatangan Dr Mahathir ke Kelantan Nik Sapeia tidak terlibat apa-apa pun.

Katanya beliau dapat tahu Nik Sapeia ada menghubungi pejabat Dr Mahathir di Putrajaya beberapa hari sebelumnya meminta agar dia menjadi orang yang jaga bekas Perdana Menteri ke sana sini sepanjang berada di Kota Bharu.

“Pagi Jumaat sekitar jam 10.15 pagi Nik Sapeia datang ke lapangan terbang bersama-sama beberapa orang-orangnya yang berjaket hitam dan berbadan besar …tiba-tiba mari.. dia kata Tun akan naik kereta dia dan hal ini telah dipersetujui oleh pejabat Tun.

“Lepas tu dia bertengkar dengan Tan Sri Abdullah Ahmad (bekas ahli parlimen Kok Lanas) dan seterus marah-marah kepada Sufi Yusoff,Pegawai Khas Tun…sedangkan dia tak kenal Sufi.

“Sebelum itu saya ternampak mereka meletakan beberapa buah kereta berwarna hitam dekat pintu masuk terminal. Dia tak datang kepada saya….saya yang pergi menegur dia selepas dia marah-marah Sufi.Saya kata apa ni bising-bising Sapeia.Saya bukan nak bergaduh.Dia cuba meninggi suara…saya tampar sikit tangan dia,”katanya.

Berikutan itu Nik Sapeia telah mula kendur dan bercakap dengan nada baik dengannya.

Kata Ibrahim Ali beliau sendiri hairan dengan tindak tanduk Nik Sapeia tiba-tiba beria-ia sangat nak bawa Dr Mahathir sedangkan sebelum ini dia tidak pernah ada di lapangan terbang semasa lawatan bekas Perdana Menteri itu dimasa lampau.

“Dulu tak pernah datang sambut Tun…kenapa sekarang beria-ia sangat ni?”,ujarnya.

Ibrahim Ali menceritakan sejurus Dr Mahathir tiba jam 10.50 sebahagian dari orangramai sekitar 1,000 orang berasak-asak nak bersalaman dengannya hingga menghampiri sebuah jip Pajero dimana beliau sepatutnya menyampaikan ucapan ringkas.

“Waktu itu dicelah orangramai yang sesak tolak sana sini saya dengar ada orang berkata.. sini Tun..sini Tun..lepas tu Tun pun masuk ke dalam jip itu dan saya baru masuk sebelah kaki …tiba-tiba terasa semburan gas ke muka saya,”katanya.

Menurut Ibrahim Ali lepas tu dia ternampak tangan orang yang menyembur gas ke arahnya sembur pula gas ke dalam jip menyebabkan terkena Dr Mahathir yang ketika itu ada dalamnya.

Katanya beliau sendiri terasa sesak nafas,pedih mata dan tekak kering ketika itu hingga kemudian terpaksa dipapah oleh beberapa orang rakan.
"Begitu juga keadaan Tun nampak sama macam saya.Mata Tun berair dan Tun menekan dadanya,"katanya.

Sejurus itu para pembantu Dr Mahathir terus memimpinnya masuk ke dalam kereta berwarna hitam bernombor DS666 milik Nik Sapeia yang diletakan dekat jip itu dan langsung bergegas dari situ menuju ke hotel.

“Jadi tidak timbul soal saya bergaduh dengan Nik Sapeia…rumusan saya ialah mereka nak bawa Tun dalam kereta Nik Sapeia …nak bawa lari Tun…pertama supaya Tun tak dapat berucap kepada orangramai yang menyambut Tun…selain itu dia nak bawa Tun ke mana saya tak tau…tetapi saya diberitahu dia nak bawa Tun makan di rumahnya.

“Saya juga dengar cerita ada orang tertentu tunggu di rumahnya dan akan brief Tun supaya Tun tidak datang ke majlis anjuran jawatankuasa alumni bekas ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri Kelantan di Hotel Perdana dan majlis makan malam anjuran MTRK di Hotel Riverview.

Ibrahim Ali berkata beliau menduga ada orang dibelakang tindak tanduk Nik Sapeia yang berkelakuan begitu pelik sekali hinggakan berkeras dan marah sana sini pasal nak bawa juga Dr Mahathir.

“Tak masuk akal dia berkelakuan begitu….juga dari mana datang penyembur gas pemedih mata kalau mereka tak ada niat apa-apa atau ia dirancang lebih awal,”ujarnya.

Menurut Ibrahim Ali setahu beliau selalunya hanya wanita sahaja yang bawa alat penyembur gas pemedih mata dalam beg tangan untuk disembur ke mata orang yang mengancam keselamatan mereka.

“Ini semua yang datang tu lelaki yang berbadan besar…perlu apa gas pemedih mata itu…siapa saja akan merasa pelik,”tambahnya.

Beliau terus membuat laporan polis di ibupejabat polis Kota Bharu tengahari Jumaat kerana mengg .......

For details please go to:

http://www.agendadaily.com/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_141e3efe-3132372e-fe30af00-ce3811f9

1 comment:

Anonymous said...

Datuk ...all the very best in the coming 8July08 spray case final court hearing. We are all behind you and we strongly believed it is definitely not you.

God bless