YOUR VOICE, OUR ACTION

" i CARE, i SHARE, i SERVE "

Saturday, July 5, 2008

Kerajaan mesti tegas atasi krisis ekonomi

Kota Bharu

Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) merayu pemimpin politik supaya mengadakan perbincangan dengan serius untuk menghadapi serangan ekonomi yang melanda negara ini.

Pengerusi PPP Kelantan, Datuk Nik sapeia Nik Yusuf berkata, beliau bimbang dengan kemelut yang berlaku sekarang telah menakutkan rakyat dan secara tidak langsung boleh menjejaskan pembangunan ekonomi negara.

Katanya, tindakan sekumpulan penyokong parti pembangkang yang dikatakan akan mengadakan perhimpunan di beberapa tempat di Kuala Lumpur esok adalah perbuatan yang tidak sewajarnya dilakukan dalam keadaan sekarang.

"Ini kerana kita sekarang ini dalam keadaan yang tidak stabil dalam pelbagai perkara berikutan serangan ekonomi dari negara luar.

"Kita harus bertindak waras. Jangan membuat sesuatu yang membimbangkan rakyat dan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi rakyat.

Katanya, sudah cukup rakyat menderita dengan beberapa isu kenaikan harga minyak dan barang keperluan, tetapi kini mereka dibebankan pula dengan kemelut politik peribadi.

Menurut beliau, kerajaan dan pembangkang sepatutnya memikirkan kaedah terbaik untuk mengatasi dan mengelak daripada serangan ekonomi oleh pihak tertentu yang kini mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku untuk menjatuhkan negara ini.

"Berilah kesempatan kepada kerajaan yang dipilih oleh rakyat untuk memulihkan kedudukan ekonomi negara yang kini terjejas teruk kesan daripada kenaikan harga petroleum di peringkat global.

"Keadaan kini dilihat lebih teruk dengan berlakunya konflik personal yang dibawa dalam pentadbiran politik sehingga menjejaskan usaha untuk memulihkan pembangunan ekonomi negara," katanya.

Nik Sapeia berkata, kerajaan harus menyelesaikan perancangan jangka pendek dengan segera supaya rakyat dapat menikmati kehidupan lebih sempurna dengan mengkaji semula kenaikan harga minyak.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Agama PPP Pusat berkata, soal projek jangka panjang tidak pasti akan berjaya, jika program jangka pendek tidak diatasi secepat mungkin.

"Kerajaan mesti tegas dan tidak tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memusnahkan negara ini yang telah kita bina bersama sejak sekian lama. Ini adalah amanah.

"Kerajaan harus berani memberi ruang kepada peniaga mengimport barang kawalan seperti beras, gandum, gula, simen, besi dan barang keperluan lain yang tidak terkawal kenaikan harganya pada masa kini.

"Ini supaya wujud persaingan harga, tidak sebagaimana sekarang ia dimonopoli oleh pihak tertentu. Walaupun perjanjian monopoli wujud, tetapi kerana keadaan masih darurat, kerajaan ada hak untuk mengeluarkan lesen import kepada yang layak.

"Memandangkan keadaan harga siling hari ini tidak terkawal. Ini yang harus difikirkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk membawa negara ke mercu kejayaan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu bertindak segera walau apa cara sekali pun dengan memastikan bahagian penguatkuasaan mesti mempunyai semangat patriotik untuk membanteraskan penyelewengan yang berlaku, kerana ada pihak tertentu akan mengambil kesempatan.

Katanya, rakyat telah memberi kesempatan kepada parti pembangkang seperti Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP untuk mentadbir negeri seperti Perak, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Selangor.

"Tunjukkan kemampuan dan tunaikan janji yang telah ditaburkan ketika kempen pilihan raya umum lalu. Jangan cuba untuk mengalihkan perhatian rakyat dengan beberapa isu yang tidak sepatutnya diperbesarkan dalam keadaan sekarang.

"Rakyat sedang memerhati apa yang pemimpin buat di lima negeri yang mereka tadbir. Rakyat mahukan keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran, bukan kemelut yang menjijikkan.

"Rakyat cintakan kedamaian. Rakyat benci kepada tunjuk perasaan dan perhimpunan haram yang tidak boleh membantu usaha kerajaan memulihkan ekonomi negara.

"Saya merayu kepada semua pemimpin politik negara ini, sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, ambillah peluang dan kesempatan untuk membincangkan kepentingan rakyat dan Negara dalam keadaan ekonomi yang boleh dikatakan berada dalam keadaan darurat.

Sehubungan itu, Nik Sapeia meminta peniaga jangan mengambil kesempatan dengan keadaan sekarang untuk menaikkan harga sehingga membebankan rakyat.

"Tindakan menaikan harga amat tidak bijak kerana kesannya akan tempias kepada diri sendiri," katanya.

No comments: